“Nanti dia seorang diri selepas abangnya meninggal dunia,” ujar Nurain Hasnorizal dengan nada sayu sambil menceritakan keadaan anak bongsunya, Muhammad Luth Syauqi, yang masih koma dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi kanak-kanak Hospital Pulau Pinang.

Ibu Kongsi Perubahan Anak Sebelum Pergi Selamanya

Sebelum ini, anak sulung Nurain iaitu Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3 tahun, telah meninggal dunia pada Rabu (10 Julai) jam 8.40 pagi selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus, dalam satu kejadian yang berlaku pada Ahad lalu.

“Saya tak sanggup melihat keadaan ini. Mereka berdua sangat rapat. Kalau nak ke mana-mana, kalau adik tak nak ikut, abang akan tarik tangan adiknya untuk bersama-sama.

“Sekarang adik masih koma, seksa dia hidup. Kasihan sangat, tetapi saya reda,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurain masih menunggu jawapan daripada doktor pakar mengenai keadaan anak keduanya itu. Bercerita mengenai anak sulungnya yang telah pergi, Nurain, 25 tahun, berkongsi bahawa Muhammad Akil adalah seorang anak yang manja dan penyayang.

“Dia memang anak yang manja, tak ada perubahan ketara sebelum kejadian itu. Biasanya, kalau saya nak pergi kerja, dia akan menangis, tapi kali ini dia hanya melambai dan berkata ‘bye bye‘ sambil memegang tangan adiknya,” katanya.

Jenazah Muhammad Akil telah dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim dan dikebumikan di sana.

Sebelum ini, dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu, dua kanak-kanak berkenaan mengalami muntah-muntah di rumah sebelum ibu mereka membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan seterusnya ke Hospital Kulim (HK) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati dua beradik itu dipercayai telah mengambil paket keropok yang tergantung di dawai besi pagar kebun milik jiran yang mengandungi racun tikus bagi tujuan memerangkap monyet.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]