Baru-baru ini tular sebuah isu mengenai dua kanak-kanak lelaki kembar yang didakwa terpaksa tidur di kaki lima sebuah flat sehingga mencuri perhatian masyarakat selepas kisah itu dikongsikan sendiri oleh ibu kandung mereka di media sosial.
![]()
Ibu Luah Kecewa Anak Kembar Diabaikan, Kes Kini Dalam Siasatan Polis & JKM
Dalam hantaran berkenaan, si ibu meluahkan rasa terkilan apabila anak-anaknya dipercayai tidak mendapat penjagaan sewajarnya daripada bekas suami dan isteri baharunya. Katanya, sejak perceraian berlaku, beliau tidak mampu menjaga anak-anak kerana masalah kewangan serta keadaan hidup yang tidak stabil. Justeru, tanggungjawab itu diserahkan kepada bapa kandung mereka.
Namun, harapannya agar anak-anak membesar dengan baik di bawah jagaan bapa tidak kesampaian. Sebaliknya, dia mendakwa kanak-kanak tersebut dipaksa tidur di kaki lima flat dengan alasan “nakal” selain pernah diarahkan menutup mata ketika makan serta dihabiskan semua makanan yang dihidangkan tanpa belas ihsan.
![]()
Pendedahan itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata simpati dengan nasib kanak-kanak tersebut, malah ada yang mempersoalkan soal kebajikan serta tahap keselamatan mereka.
Dalam perkembangan terbaharu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim, mengesahkan pihak berkuasa sudah memulakan siasatan. Polis menjalankan siasatan di bawah bidang kuasa mereka, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menyiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
![]()
“Kanak-kanak berkenaan juga akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan, sementara siasatan penuh sedang dijalankan. Setakat ini, kedua-dua ibu bapa kandung serta ibu tiri kepada kanak-kanak terbabit sudah tampil memberi kerjasama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai, bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses undang-undang.
Kredit: Malaysia Gazette