Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap ibu kepada kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Ibu Zayn Rayyan Didapati Bersalah Abaikan Anak, Dijatuhkan Hukuman Penjara

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh selepas meneliti semua keterangan sepanjang perbicaraan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikemukakan. Mahkamah turut menyatakan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melangkaui tahap keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh disabitkan dengan kesalahan sebagaimana dalam pertuduhan,” katanya ketika membacakan keputusan pada Jumaat.

Susulan keputusan itu, mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh sabitan, sementara prosiding diteruskan dengan permohonan rayuan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Menurut fakta kes, pada 13 Jun 2024, Ismanira bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka di Mahkamah Sesyen yang sama. Namun, pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri, manakala suaminya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, dan telah mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]