Misteri penemuan mayat seorang lelaki di dalam bagasi besar berhampiran Flat Ampang Jajar, semalam, akhirnya terjawab apabila mangsa disahkan sebagai individu yang dilaporkan hilang sejak 8 Oktober lalu.
Mayat Dalam Bagasi Di Butterworth Disahkan Ejen Insurans Hilang Sejak 8 Oktober
Mangsa, dikenali sebagai Lee Boon Han, 31, dikenal pasti selepas bapanya hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya pagi tadi bagi proses pengecaman.
Menurut sumber, mayat berkenaan ditemui sekitar 1.43 tengah hari semalam dalam keadaan menyayat hati di mana kedua-dua tangan terikat dan terdapat kesan kelar pada bahagian leher. Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca sebenar kematian, namun siasatan giat dijalankan bagi mengenal pasti motif serta suspek yang terlibat.
Difahamkan, Boon Han yang bekerja sebagai ejen insurans dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Paya Terubong untuk bertemu seorang pelanggan di Perlis dengan menaiki kereta Toyota Vios berwarna kelabu.
Kehilangannya disedari selepas dia gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah, menyebabkan bapanya yang berusia 69 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada hari sama.
Kredit: Kosmo!