Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley, meluahkan rasa terkejutnya apabila jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, mengalami insiden yang tidak dijangka hingga menyebabkan beliau tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizhasni Awang Terkedu Dan Kecewa Selepas Namanya “Disqualified” Di Pusingan Pertama
Azizulhasni, yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman‘, juga dikatakan turut tidak percaya dengan apa yang berlaku apabila tindakannya memotong pacer telah menyebabkan penyertaannya dibatalkan secara rasmi.
Menurut Beasley, Azizulhasni kini berada dalam keadaan yang sangat suram, di mana beliau enggan bercakap dan masih dalam keadaan sedih akibat insiden tersebut.
“Dia (Azizulhasni) masih terkejut, terdiam, dan tidak banyak berkata-kata. Saya percaya dia sukar menerima hakikat yang terjadi ini. Kami semua juga merasa terkejut dengan apa yang berlaku.
“Namun, tidak ada yang dapat kita lakukan selain menerima kenyataan dan teruskan langkah ke hadapan,” ujar Beasley dalam satu temu bual bersama Astro Arena selepas perlumbaan itu tamat.
Dengan tersingkirnya Azizulhasni dari pusingan pertama keirin, harapan negara untuk meraih pingat emas pertama di Olimpik Paris 2024 kini musnah.
Azizulhasni disingkirkan selepas melanggar peraturan dengan memotong pacer dalam heat pertama acara tersebut, sekaligus menutup peluangnya untuk meraih emas dalam acara berprestij itu.
Walaupun pasukan berbasikal negara telah cuba mengemukakan rayuan, keputusan akhirnya tetap tidak memihak kepada Azizulhasni.
Namanya tidak tersenarai dalam senarai pelumba yang layak ke pusingan repechages, sekaligus mengesahkan bahawa pemenang pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Olimpik Rio 2016 ini tidak akan beraksi di peringkat seterusnya.
Kini, harapan negara dalam sukan berbasikal trek disandarkan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan heat 5 dan akan bertanding di pusingan repechages untuk merebut tempat ke suku akhir.
Pada perlumbaan awal itu, Azizul berlumba bersama dua finalis edisi sebelumnya, Matthew Glaetzer dan Jair Tjon En Fa, selain pelumba lain seperti Ota Kaiya, Rayan Helal, dan Jeffrey Hoogland. Azizul memulakan saingan di kedudukan keenam dan cuba melakukan gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar dari trek.
Namun, tindakan Azizul yang turut melepasi pacer dikesan sebagai satu kesalahan, menyebabkan perlumbaan itu dibatalkan dan beliau disingkirkan daripada saingan.
Perlumbaan heat pertama akhirnya dimenangi oleh Matthew Glaetzer dari Australia, diikuti oleh pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland, yang mara terus ke suku akhir. Pelumba lain pula akan bersaing di pusingan repechages untuk merebut tiket ke suku akhir.
Kredit: Harian Metro