Individu yang muncul dalam siaran langsung TikTok dengan mendakwa dirinya sebagai pakar bedah siasat kes pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina, akhirnya berjaya dikesan pihak berkuasa.

MCMC Kenal Pasti Suspek Akaun TikTok Sebar Dakwaan Palsu Bedah Siasat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa lelaki terbabit ditahan di Kota Damansara lewat malam kelmarin hasil maklumat yang diperoleh daripada beberapa saksi yang pernah bersama dalam siaran langsung akaun tersebut.

Menurut MCMC, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk dirakam keterangan, manakala peralatan komunikasinya turut dirampas bagi tujuan analisis forensik.

“Penyebaran maklumat palsu, lebih-lebih lagi yang berkait rapat dengan kematian, tragedi atau mangsa nahas, merupakan kesalahan serius kerana ia boleh mengguris emosi keluarga, menimbulkan kekeliruan masyarakat serta mengganggu siasatan pihak berkuasa,” tegas kenyataan itu.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pihak polis juga menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang dibuat suspek berunsur menghasut dan berpotensi menimbulkan kegentaran awam.

Sabtu lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan hasil semakan bersama Kementerian Kesihatan mendapati individu tersebut bukan pakar perubatan mahupun kakitangan kementerian.

Terdahulu, lelaki itu dalam siaran langsung TikTok menggunakan nama akaun “Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar” mendakwa dirinya terlibat dalam proses bedah siasat Allahyarhamah Zara Qairina sebelum cerita itu tular dan mengundang kecaman masyarakat.

Kredit: Astro Awani

 

 

 

[fbcomments]