Seorang lelaki berusia 20 tahun yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor pada petang Isnin, disahkan sebagai pekerja kepada usahawan terkenal, Rozita Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Bonda Rozita.

Pekerja Bonda Rozita Maut Dihimpit Pokok Tumbang, Usahawan Tuntut Siasatan Punca Kecuaian

Menerusi hantaran di media sosial, Bonda Rozita menzahirkan rasa pilu atas pemergian pekerjanya, Ahmad Al Faruq, yang disifatkan sebagai anak muda bersemangat dan baru mula meniti kehidupan dewasa. Beliau berkata, kemalangan itu bukan semata-mata takdir, sebaliknya berpunca daripada kecuaian manusia apabila aspek keselamatan diabaikan.

“Dalam sekelip mata, pokok besar tumbang dan menghempap Hilux milik syarikat saya. Nyawa staf kami yang muda dan baru berusia 20 tahun diragut dalam tragedi ngeri ini,” luahnya.

Bonda Rozita turut menegaskan bahawa insiden tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar tidak mengambil mudah isu keselamatan di kawasan awam dan persekitaran yang berisiko. Beliau menyeru agar siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, sambil menegaskan bahawa kelalaian dalam pemantauan alam sekitar serta keselamatan jalan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

“Saya amat berharap pihak kerajaan ambil tindakan tegas atas insiden ini. Kemalangan ini bukan di resort Bonda, tapi kesan pencemaran sungai & pokok hutan yang tidak dipantau boleh mengancam tetamu dan binaan.

“Bina resort bukan sekadar pacak bangunan tanpa lesen, mudah kalau tak ikut undang-undang!” ujarnya lagi.

Dalam kenyataan susulan, pihak polis mengesahkan kejadian itu berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang sehingga menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan mangsa berhampiran sebuah chalet di kawasan berkenaan. Jenazah Ahmad Al Faruq difahamkan telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Kredit: Instagram bondarozitaibrahim, Berita Harian

 

[fbcomments]