Mahkamah Koroner menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada Julai lalu.

Mahkamah Tetapkan Prosiding Bermula September, 195 Saksi Dipanggil

Prosiding berkenaan akan berlangsung hampir sebulan dengan tarikh ditetapkan pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September. Difahamkan, seramai 195 individu disenaraikan sebagai saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Koroner Azreena Aziz, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, mengumumkan ketetapan itu ketika sebutan kes berlangsung pagi tadi. Suasana di pekarangan mahkamah turut menjadi tumpuan apabila petugas media mula berkumpul seawal pagi, manakala anggota polis ditempatkan bagi memastikan keadaan terkawal.

Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), inkues ini bertujuan meneliti punca sebenar kematian Zara Qairina, termasuk kemungkinan wujudnya elemen jenayah.

“Kes ini adalah berkepentingan awam. Jabatan akan memohon supaya prosiding ini dipercepat demi menegakkan keadilan, bukan sahaja untuk keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum,” jelas AGC.

Keputusan untuk menjalankan inkues dibuat selepas pihak AGC meneliti laporan penuh siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia pada 12 Ogos lalu.

Terdahulu, Zara Qairina, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, dilaporkan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth I, sehari kemudian.

Kredit: Berita Harian

 

 

[fbcomments]