Beberapa bulan lepas tular satu kejadian yang memaparkan beberapa remaja lelaki dilihat membakar seekor anak kucing yang masih hidup dengan sengaja sebelum mereka disiasat polis.
Terbaharu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas satu pertuduhan membakar anak kucing di sebuah flat di Hulu Langat dilaporkan dikenakan bon kelakuan baik selama setahun bermula Khamis semalam.
@utusantvofficial Replying to @zarenazakaria 27 JUN 24: Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz memerintahkan demikian selepas meneliti laporan akhlak yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 📽 Auzaee Athallah #trendingnewsmalaysia #beritaditiktok #fyp #kucing
Dikenakan Bon Kelakuan Baik Selama Setahun
Memetik laporan Berita Harian, tertuduh yang tidak bersekolah itu telah diperintahkan untuk tidak keluar dari rumah antara pukul 10 malam hingga 6 pagi selama setahun. Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz turut mengarahkan tertuduh dan ibunya untuk hadir ke bengkel interaktif yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tempoh tersebut.
Dalam masa yang sama, ibu tertuduh dikenakan bon selama setahun dengan cagaran sebanyak RM1,000. Beliau juga diwajibkan hadir ke bengkel interaktif JKM dan memastikan anaknya mematuhi semua arahan mahkamah. Keputusan ini diambil bagi memastikan tertuduh mendapat bimbingan yang sewajarnya dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Remaja tersebut didakwa bersama dua lelaki lain yang masih bebas kerana secara kejam menyakiti seekor kucing dengan membakar haiwan itu di parkir sebuah flat di Hulu Langat pada jam 1.08 tengah hari, 22 April lalu. Kesalahan ini mengikut Perenggan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Peguam yang mewakili tertuduh, Lee Teong Hooi, menyatakan bahawa penasihat mahkamah telah menasihati tertuduh untuk memberi tumpuan kepada pelajaran, menjadi individu yang lebih baik, dan menjaga ibunya dengan lebih baik. Nasihat ini diharap dapat memberi panduan kepada tertuduh untuk menjalani kehidupan yang lebih positif dan bertanggungjawab di masa hadapan.
“Tertuduh menangis ketika diberi nasihat dan memohon maaf selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
“Tertuduh diingatkan berhati-hati dalam memilih kawan dan mengambil pengajaran daripada kejadian itu dan tidak ada seorang pun kawannya hadir melainkan ibunya,” katanya kepada media.
Dah Tak Berani keluar Rumah, Mahu Bela Kucing Untuk Tebus Kesalahan
Teong Hooi turut menambah, tertuduh sudah mendaftar ke sekolah dan bakal memulakan sesi pembelajaran tahun hadapan ke Tingkatan Dua.
“Tertuduh sendiri meminta untuk mendaftar ke sekolah dan keluarga itu sudah berpindah dan tidak tinggal di flat lama lagi,” jelasnya.
Sementara itu, ibu saudara tertuduh yang ditemui memaklumkan bahawa anak saudaranya itu sudah banyak berubah sejak insiden terbabit.
“Dia tak berani keluar rumah lagi dan sudah mula menyayangi kucing, malah ada meminta untuk membela seekor kucing bagi menebus kesalahannya,” katanya.
Terdahulu, tular satu video menunjukkan dua lelaki menyimbah sesuatu dipercayai bahan bakar ke atas seekor anak kucing dianggar berusia enam minggu manakala seorang lagi menyalakan api.
Kredit: Berita Harian, TikTok utusantvofficial