Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Serdang selepas didapati bersalah memandu bas secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang mencederakan tiga murid dan seorang guru di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada minggu lalu.

Pemandu Bas Dihukum Penjara 7 Hari, Denda RM8,000 Akibat Pemanduan Bahaya di UPM

Tertuduh, Mohamad Hamir Masrudin, 44, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Nastasya Mohtarudin.

Jika gagal membayar denda yang ditetapkan, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama tujuh bulan. Mahkamah turut memerintahkan sabitan kes ini direkodkan dalam lesen pemanduan dan kelayakan memandu tertuduh digantung.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 2 Ogos lalu kira-kira jam 12.18 tengah hari di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM. Bas yang dipandu tertuduh hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok, mengakibatkan beberapa penumpang cedera.

Bas berkenaan membawa 30 murid dan lima guru pengiring dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang yang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke MAEPS, Serdang.

Rakaman dashcam kejadian itu turut tular di media sosial dan mencetuskan kebimbangan orang awam mengenai aspek keselamatan kanak-kanak dalam pengangkutan pelancongan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000, selain hilang kelayakan lesen sekurang-kurangnya lima tahun.

Dalam prosiding, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon agar hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kecuaian pemandu serta kepentingan keselamatan awam.

“Tindakan memandu dalam keadaan penat dan tidak cukup tidur hingga membahayakan nyawa murid dan guru amat serius. Kepentingan awam perlu diutamakan,” ujarnya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung ibu yang sakit dan hanya bekerja secara sambilan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]