Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video yang tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki dipercayai penunggang motosikal ditampar oleh individu lain di sebuah stesen minyak.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 11 Januari lalu, kira-kira jam 6.50 petang, di sebuah stesen minyak yang terletak di kawasan Taman Perling, Johor Bahru.

Video Tular Insiden Tampar Di Stesen Minyak, Polis Buka Siasatan Dalaman

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor memaklumkan hasil siasatan awal mendapati individu yang terlibat dalam insiden tersebut telah dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di daerah berkenaan dan berada dalam tempoh cuti ketika kejadian berlaku. Walaupun setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu, pihak polis telah mengenal pasti mangsa dan sedang berusaha mengesan individu berkenaan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang dakwaan kesalahan atau salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota polis. Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan, selain digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut. Pihak polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti.

Kredit: Facebook Polis Daerah Johor Bahru Utara

 

[fbcomments]