fbpx

Baru-baru ini insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok telah meragut dua nyawa yang tidak bersalah. Difahamkan, salah seorang daripada mangsa yang terbunuh adalah Zhao, 34, yang merupakan warga China dan ibu kepada pasangan kembar perempuan berusia lima tahun.

“Ibu Saya Akan Mati?”

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Kosmo! Online, keadaan sepasang kanak-kanak kembar perempuan yang memakai riben rambut dipenuhi darah ibunya yang terkorban dalam insiden tembakan rambang di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok semalam telah meruntun hati orang ramai. Menerusi perkongsian daripada seorang saksi yang turut berada di tempat kejadian, beliau menceritakan dirinya terserempak dengan kembar tersebut yang sedang mendapatkan bantuan untuk ibunya.

“Hari ini hari paling sedih dalam hidup saya. Saya berjaya lari keluar dari Siam Paragon. Saya kemudian terserempak dengan dua adik-beradik ini sedang meminta bantuan. Ibu mereka sudah ditembak dan mereka tidak dapat mencarinya. Saya sedaya upaya cuba membantu dua beradik itu. Dengan bateri telefon hanya tinggal satu peratus, saya buat panggilan untuk dapatkan bantuan.

“Salah seorang adik-beradik mereka bertanya kepada saya, ‘adakah ibu saya akan mati?’. Saya cuba menenangkan mereka dengan berkata ‘Ibu kamu cedera tetapi kamu akan berjumpa dengannya tidak lama lagi.’ Bagaimanapun, apabila polis tiba, mereka menyampaikan berita menyayat hati kepada adik-beradik itu bahawa ibu mereka sudah meninggal dunia. Saya tidak dapat menahan tangisan dengan nasib malang yang menimpa mereka,” luahnya dalam satu hantaran.

Tidak Dapat Selamatkan Nyawa Ibu Mereka Kerana Cedera Parah

Tambah saksi itu lagi, keluarga mangsa difahamkan sedang bercuti selama seminggu di Bangkok namun malang tidak berbau, sebuah tragedi yang tidak diingini menimpa keluarga mereka. Selepas Zhao ditembak, adik-beradik kembar tersebut cuba untuk meminta bantuan daripada orang ramai tetapi malangnya mereka tidak dapat menyelamatkan nyawa ibu mereka yang akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Kenapa mereka perlu melalui pengalaman yang begitu tragis? Pembunuh itu telah meragut nyawa ibu kepada kanak-kanak kembar”, kata saksi.

Susulan kejadian itu, dua wanita terbunuh dengan masing-masing dari China dan Myanmar, manakala lima lagi mengalami kecederaan termasuk dua rakyat asing dan tiga warga Thailand.

Kredit: Kosmo! Online

[fbcomments]