Pada Rabu, semalam terjadinya sebuah insiden yang melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Thailand yang telah meragut 2 nyawa dan mencederakan beberapa orang yang lain.
Terbaharu, difahamkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) iaitu Tunku Ismail Sultan Ismail berkongsikan detik cemasnya ketika beliau sekeluarga berada di hotel berdekatan lokasi insiden tembakan terbabit melalui sebuah platform media sosial.
Situasi Riuh Dan Kelam Kabut
Berdasarkan sebuah hantaran yang dimuat naik oleh TMJ sendiri di laman Twitter, beliau menceritakan situasi cemas yang dihadapinya apabila suspek melepaskan tembakan dan orang ramai meluru masuk ke lobi hotel untuk mendapatkan perlindungan.
“Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya. Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku”, tulisnya.
Isteri Peluk Anak-Anak Dan Tundukkan Diri Untuk Berlindung Dari Sebarang Bahaya
Dalam keadaan yang genting dan panik, beliau hanya memikirkan cara untuk membawa keluarga dan pasukannya keluar daripada situasi bahaya tersebut dengan secepat mungkin. “Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis”, jelas TMJ lagi yang kemudiannya mereka di bawa ke Kedutaan Singapura berdekatan.
Menurut sumber lain, beliau sekeluarga berada di Bangkok, Thailand untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United. Meskipun terlepas perlawanan berkenaan, TMJ meluahkan rasa syukur kerana beliau dan keluarganya berada dalam keadaan selamat. “Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. 2 orang meninggal dunia. Semoga Allah merahmati roh mereka yang tidak berdosa”, ujarnya.
Selamat Tiba Di Johor
Kini difahamkan TMJ sekeluarga telah selamat tiba di Johor. Sementara itu, pihak berkuasa serta pihak polis Thailand mengesahkan insiden tembakan tersebut dan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kredit: Twitter HRHJohorII