Tidak dinafikan terdapat ramai juga golongan yang antivaksin di Malaysia ini, mereka mengatakan bahawa vaksin ini mengandungi bahan-bahan tidak halal.
Oleh itu, kerajaan perlu melakukan kajian terperinci terhadap status vaksin Covid-19 supaya menepati syarak, sekali gus mengelak perkara itu dijadikan isu mana-mana pihak, terutama kepada mereka yang anti vaksin.
Menjamin ketenangan jiwa
Kebimbangan masyarakat maya mengenai status halal vaksin mendapat pelbagai reaksi daripada pihak berkuasa. Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, mengatakan status halal vaksin penting untuk menjamin ketenangan jiwa dalam kalangan umat Islam dalam menerimanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari, menunjukkan piawaian mengesahkan vaksin halal, termasuk untuk COVID-19 akan tersedia awal tahun depan.
Turut dilaporkan HDC menjalin kerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia (DSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengembangkan piawaian itu, serta turut menjalankan langkah penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan beberapa syarikat yang menghasilkan vaksin.
Halal dan tidak bercanggah dengan syarak
Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut berkata, perkara itu membantu memberi keyakinan kepada orang Islam untuk menerimanya tanpa sebarang keraguan.
Ada segelintir masyarakat tolak terus vaksin ini tetapi bagi saya ini tidak tepat sebab vaksin juga antara usaha kita mencegah penyakit. Kalau ia halal dan tidak bercanggah dengan syarak, apa salahnya?
Namun, kita minta supaya kerajaan menjalankan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama atau majlis fatwa supaya tidak timbul polemik dalam kalangan masyarakat.
Umat Islam perlu terima vaksin COVID-19
Oleh itu, umat Islam disarankan untuk menerima vaksin COVID-19 diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan ia kaedah lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa dan bukan bersumberkan gelatin haiwan.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas bersama mufti baru-baru ini, kita mendengar penjelasan daripada wakil Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kandungan vaksin COVID-19. Mereka menerangkan vaksin yang akan kita terima bukan daripada sumber gelatin binatang.
Islam sangat menitikberatkan penjagaan diri dan nyawa dengan setakat ini, kaedah penggunaan vaksin lebih berkesan.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang turut berkata, umat Islam tidak dapat mengelak untuk menggunakan vaksin COVID-19 demi menjaga diri dan nyawa.