Seorang wanita ditemui maut manakala dua lagi cedera dalam nahas yang membabitkan sebuah bas persiaran dan lima lori di Kilometer 200.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak pada Khamis semalam. Tragedi tersebut dipercayai berlaku pada jam 11.33 pagi setelah laporan diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting.

Lori Muatan Sawit Melanggar Belakang Sebuah Bas Bawa Enam Penumpang

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Majoriti Official, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak iaitu Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori muatan sawit dinaiki mangsa bersama dua yang lain melanggar bahagian belakang sebuah bas yang membawa enam penumpang. Katanya, pelanggaran tersebut telah mengakibatkan kemalangan empat lori lain dari arah yang sama.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak yang turut berada dalam lori sama hanya mengalami kecederaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Kesemua Penumpang Bas Selamat

Menurut beliau lagi, kesemua penumpang bas dilaporkan selamat dan mereka telah dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Anggotanya turut membuat pemantauan ke atas semua kenderaan terlibat bagi memastikan tiada unsur yang menyebabkan kebakaran.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]