fbpx

Selepas pemergian seorang isteri yang meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka, takdir sekali lagi menguji keluarga itu apabila si suami pula menyusul dua minggu kemudian di Hospital Duchess of Kent (HDOK), pada hari Selasa.

@abambotakpeduli

Berpisah didunia bertemu semula di negeri abadi 🤍 #islamic_video #alfatihah

♬ Dawai (From “Air Mata Di Ujung Sajadah”) – Fadhilah Intan

Suami Menyusul Pergi Selepas Isteri Meninggal Dunia Lahirkan Anak Keempat

Dalam sebuah perkongsian di TikTok oleh pemilik akaun Abam Botak, kelihatan van jenazah yang dikendalikannya digunakan sekali lagi untuk menguruskan jenazah suami arwah. Menurut Abam Botak atau nama sebenarnya Yunizam Yusop, 36, pada dua minggu lalu dia telah menguruskan jenazah si isteri yang bernama Airyn Darwisa Rudy, 25, yang meninggal dunia ketika melahirkan anak keempat mereka.

“Dua minggu lepas si isteri pergi buat selamanya saat melahirkan anak mereka, hari ini suami pula menyusul sama. Moga Allah jaga anak mereka,”katanya dalam video yang dimuat naik di TikTok.

Yunizam mengakui tidak pernah menyangka bahawa lelaki yang menghubunginya dua minggu lalu untuk menguruskan jenazah isterinya juga akan meninggalkan dunia ini tidak lama kemudian.

“Minggu lalu isterinya meninggal dunia, arwah yang hubungi saya untuk pengurusan jenazah isterinya. Saya tidak sangka si suami menyusul pula hari ini.

“Van jenazah yang sama juga digunakan pada dua minggu lalu untuk arwah isterinya dan kali ini untuk membawa Allahyarham,” katanya lagi.

Memetik laporan Sinar Harian, Jefrie Roslan, 29, adik kepada arwah Safry Roslan, 35, memberitahu bahawa abangnya berada dalam keadaan sihat sebelum meninggal dunia. Namun, sehari sebelum pemergiannya, Safry menunjukkan tingkah laku yang luar biasa terhadap ahli keluarga dan rakan sekerja.

“Pada Isnin lalu, arwah kelihatan sihat saja dan pergi kerja seperti biasa. Cuma ada kawan-kawan memberitahu dia bersikap pelik apabila sepanjang hari itu dia bersalaman, meminta maaf dan memeluk rakan-rakan sekerja.

“Ketika di rumah pula, dia bawa kami sekeluarga makan bersama-sama dan turut meminta maaf jika ada salah dan silapnya. Pada awalnya saya tertanya-tanya tetapi saya menganggap mungkin dia rindukan arwah isterinya,” ujar Jefrie.

Menurut Jefrie, abangnya ada memberitahu bahawa dia bertemu arwah isteri dalam mimpi, yang mengajaknya ke ‘rumah’ baru mereka yang cantik. Namun, Jefrie hanya menganggap bahawa Safry terlalu merindui isterinya, lebih-lebih lagi kerana dia sering bermimpi dan mengigau tentang isterinya.

Malam itu, Safry tidur sekitar tengah malam tetapi mula mengigau sekitar jam 1 pagi, memaksa keluarga untuk membangunkannya. Namun, selepas itu, dia kembali mengigau sebelum tiba-tiba senyap. Keluarga segera membawanya ke hospital apabila dia kelihatan semakin teruk, dengan bibir yang pucat. Doktor kemudian memaklumkan bahawa Safry berada dalam keadaan kritikal dan meminta keluarga terus berdoa.

Malangnya, pada jam 2.50 pagi, doktor mengesahkan Safry telah meninggal dunia.

Jefrie juga memberitahu bahawa bayi yang baru dilahirkan kini dalam jagaannya bersama isteri, manakala tiga lagi anak arwah yang berusia lima, empat, dan dua tahun dijaga oleh nenek mereka.

Jenazah Safry dikebumikan bersebelahan kubur arwah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Aman, Sandakan.

Kredit: TikTok abambotakpeduli, Sinar Harian

[fbcomments]