Istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, yang turut merupakan putera kedua kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, bakal diadakan pada 24, 25, dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Istiadat Berlangsung Selama 3 Hari

Ini merupakan istiadat perkahwinan diraja kedua bagi tahun ini, selepas majlis perkahwinan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah bersama FD Idzham FD Iskandar yang telah berlangsung pada Ogos lalu, iaitu pada 22, 23, dan 25 Ogos lalu.

Perkhabaran ini diumumkan menerusi hantaran rasmi di laman Facebook Kesultanan Pahang hari ini, mengundang rasa teruja dalam kalangan rakyat jelata.

Menurut hantaran tersebut, Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Adat Midodareni, atau lebih dikenali sebagai Majlis Suai Kenal, yang diadakan di Taman Duta, Kuala Lumpur semalam. Majlis Adat Midodareni ini merupakan sebahagian daripada acara istiadat perkahwinan Putera Diraja tersebut.

Selain itu, baginda berdua juga berkenan berangkat ke Majlis Siraman yang berlangsung di lokasi sama, dengan majlis tersebut diadakan bagi melengkapkan tradisi perkahwinan diraja.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh beberapa kerabat diraja Pahang termasuk Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; serta puteri-puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, Tengku Puteri Ilisha Ameera, dan Tengku Puteri Ilyana.

Sehari sebelum itu, Tunku Azizah Aminah berkenan hadir ke Majlis Khatam Al-Quran Tengku Natasya Puteri yang berlangsung di Taman Duta, sebagai sebahagian daripada persiapan istiadat perkahwinan. Majlis tersebut menandakan satu lagi langkah dalam rangkaian acara perkahwinan diraja yang bakal berlangsung dengan penuh adat dan tradisi.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]