Polis merampas lima pasang stoking yang tertera kalimah ALLAH ketika membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah kilang yang terletak di Batu Pahat, Johor pada pagi semalam.
Polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kilang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading, hari ini susulan dakwaan kilang itu terbabit dengan penjualan stoking tertera kalimah 'Allah'. pic.twitter.com/c0l1slxPK7
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) March 19, 2024
5 Stoking Kalimah ALLAH Dirampas
Berdasarkan sumber Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Batu Pahat iaitu Asisten Komisioner Ismail Dollah memaklumkan bahawa seramai 40 anggota polis digerakkan ke lokasi untuk menyiasat kilang syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang dipercayai menjadi tempat bagi urusan pembungkusan dan pengedaran stoking tersebut.
“Kami merampas lima pasang stoking yang tertera kalimah ALLAH. Produk tersebut sudah pun dipulangkan oleh kedai serbaneka KK Super Mart Bandar Sunway di Selangor. Kami dimaklumkan terdapat 16 guni yang berisi 18,800 pasang stoking dibawa dari China sebelum kilang itu membungkus semula dan mengedarkannya ke pasaran.
“Kami memeriksa setiap stok dan mendapati stoking yang lain tidak tertera kalimah ALLAH kecuali lima pasang yang kami rampas,” katanya semalam.
Setakat Ini Hanya 3 Cawangan Sahaja Yang Menjual Stoking Terbabit
Tambah Ismail lagi, setakat ini hanya tiga cawangan kedai serbaneka sahaja yang menjual stoking tertera kalima Allah di mana masing-masing berlokasi di Bandar Sunway dan Sunway Mentari.
Ismail turut mengingatkan agar orang ramai atau badan bukan kerajaan (NGO) tidak mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan atau demonstrasi berkaitan isu penjualan stoking berkenaan.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan aktiviti bertentangan dengan undang-undang. Biar polis yang menjalankan siasatan,”ujarnya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kredit: Buletin TV3