Pelakon Kamal Adli tampil bersuara selepas wujud dakwaan tidak berasas daripada seorang individu yang mempertikaikan status nasab anak perempuannya, Hawra Uqaira, hasil perkahwinan bersama isterinya, Uqasha Senrose.

“Hawra Anak Kandung Saya”

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, Kamal menyifatkan kenyataan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak sepatutnya dilontarkan oleh mana-mana pihak, apatah lagi melibatkan soal maruah keluarga serta hukum agama. Menurutnya, tuduhan berkenaan bukan sahaja melanggar batas kemanusiaan, malah bercanggah dengan nilai sebagai seorang Muslim.

“Salam. Ini sangat-sangat melampau. Terlalu melampau untuk manusia normal dan sebagai Muslim. Itu anak kandung saya,” tegasnya.

Kamal turut menyeru orang ramai agar lebih berhemah ketika meninggalkan komen di media sosial dan tidak sewenang-wenangnya menulis perkara yang boleh mengguris perasaan serta menjatuhkan maruah sesebuah keluarga.

Isu ini turut mendapat perhatian apabila sebelum ini, Uqasha meluahkan kekecewaan terhadap dakwaan kononnya Kamal hanya berdiam diri bagi menutup aib isteri berhubung status anak mereka. Uqasha secara terbuka menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa dia tidak pernah mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Menurut Uqasha, sekiranya dakwaan curang itu benar, dia tidak mungkin mampu mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Kamal selama ini.

Untuk rekod, pada 1 Oktober lalu, Uqasha telah memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman serta masalah rumah tangga yang dikatakan berlaku sejak April 2025. Difahamkan, pasangan tersebut juga sudah tidak lagi tinggal bersama, dengan Uqasha kini menetap di rumah ibunya.

Perkembangan terkini menyaksikan kedua-dua pihak telah melantik jawatankuasa pendamai masing-masing pada 19 November lalu, selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Sebagai rekod, Kamal Adli dan Uqasha Senrose mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Kredit: Threads kamaladli

 

[fbcomments]