Kes penderaan terhadap anak-anak pada masa kini semakin membimbangkan apabila kejadian seperti ini kerap berlaku. Baru-baru ini tularnya sebuah kejadian dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun telah menjadi mangsa dera oleh bapa sendiri dan dia ditemukan dalam keadaan tidak bermaya, dibiarkan berbogel serta dikurung dalam tandas di rumah keluarganya yang terletak di Flat Taman Pulai Jaya, Johor.
Anak Tanggung Kesakitan
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, terbaru ibu kandung kepada mangsa dera ini meluahkan rasa terkilan sebaik sahaja melihat keadaan anaknya yang terkini. Wanita tersebut yang dikenali sebagai Ana, beliau memaklumkan bahawa beliau berpeluang berjumpa semula dengan anaknya pada Sabtu lalu selepas diberitahu oleh pelindung kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Beliau meluahkan rasa kecewa apabila melihat keadaan anaknya dan hampir tidak mengenalinya kerana fizikal terkini tidak sama seperti sebelum ini.
Menurut Ana lagi, ketika anaknya tinggal bersamanya pada dua tahun yang lepas, berat badan anaknya itu mencecah 60 kilogram dan dia adalah seorang yang ceria dan peramah.
“Saya pernah membuat laporan sebanyak tujuh kali termasuk di Banting, Selangor kerana suami tidak membenarkan untuk bertemu dengannya sejak lebih setahun lalu. Saya tidak menolak kemungkinan dia menjadi mangsa penderaan dalam tempoh setahun ini”, katanya.
Terpaksa Minum Air Tandas Dan Makan Sisa Makanan Ketika Lapar
Tambah Ana lagi, beliau menceritakan bahawa anaknya kerap meminum air tandas ketika kelaparan dan kadang kala terpaksa memakan sisa makanan yang tertinggal. Anaknya juga dikatakan terpaksa menahan dan menanggung kesakitan apabila dirinya sengaja dipukul dan dicucuh api oleh kekasih bekas suaminya.
“Saya tidak melihat perbuatan mereka namun siapa saja pelaku, saya tidak akan memaafkan mereka dan berharap dibawa ke muka pengadilan. Tak dapat bayangkan nasibnya sekiranya dia tidak diselamatkan polis, mungkin kami akan kehilangannya. Saya bersyukur kerana dia terselamat, terima kasih kepada polis, komuniti setempat mahupun sukarelawan. Saya juga menghargai perhatian diberikan Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) dan Skuad Waja terhadap anak saya ketika dia diselamatkan hingga kini.
“Saya tidak sabar untuk dibenarkan membawa pulang anaknya selepas proses siasatan, saya akan mendaftarkannya di sekolah dan akan memastikan kesihatannya lebih baik”, ujar Ana.
Kredit: Harian Metro