Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas satu komen jelik dikesan di Facebook sebuah portal berita ketika istiadat pengebumian negara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa lalu.

JAKIM Buat Laporan ke MCMC Lepas Komen Jelik Ketika Pengebumian Tun Abdullah

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, komen tersebut dianggap sangat tidak bertanggungjawab kerana dibuat ketika negara sedang berkabung atas pemergian seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara.

“Komen itu jelas memperlekehkan serta mempermainkan ajaran Islam, khususnya pada saat penuh hiba dan penghormatan terhadap pemergian seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, komen seperti itu bukan saja menyakitkan hati umat Islam, tetapi juga boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama jika tidak dikawal.

“Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati perasaan masyarakat Islam khususnya pihak keluarga Allahyarham,” tambahnya.

JAKIM turut menggesa semua pihak agar lebih peka dan menghentikan sebarang bentuk komen atau hantaran yang boleh mengundang provokasi, kemarahan, atau menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum.

Untuk makluman, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada malam Isnin lalu. Jenazah beliau dikebumikan dengan penuh penghormatan di Makam Pahlawan, Masjid Negara mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Majlis itu turut dihadiri oleh pemimpin negara, kenalan rapat serta rakyat pelbagai kaum yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mantan Perdana Menteri kelima Malaysia itu.

Kredit: Berita Harian

 

 

[fbcomments]