Penyanyi dan pengacara Janna Nick meluahkan rasa kesal apabila ramai yang mengaitkan namanya sebagai punca pertengkaran peserta Famili Duo, Fyna Jebat dan madunya.
Nurul Jannah Muner, 27 berasa lebih kecewa apabila terdapat artis veteran yang menuduhnya seolah-olah penyebab konflik rumah tangga penyanyi berkenaan.
“Saya tak kisah kalau yang mengata saya tu netizen. Tapi bila ada pelakon veteran dalam industri yang menuduh saya secara membabi buta konon saya sengaja nak sakitkan hati isteri pertama kepada si polan, saya jadi marah..”
Janna telah memuat naik penerangannya itu di platform Instagramnya bersama rakaman temu bual bersama Fyna sewaktu program tersebut.
Janna juga mengakui dia tidak mengetahui tentang kewujudan madu Fyna yang mana kedua-duanya adalah isteri kepada bekas jurulatih bola sepak Datuk Zainal Abidin Hassan.
“Walhal saya langsung tidak tahu akan kewujudan isteri pertama & masalah rumah tangga yang dilalui mereka. Konon saya pulak punca berlakunya kejadian tarik menarik rambut.
Kenapa Perlu tanya soalan personal?
Ada juga yang mempersoalkan tindakan Janna yang bertindak bertanyakan soalan-soalan yang agak personal kepada perserta. Jelas Janna, dia hanya menjalankan tugas untuk bertanya soalan berkaitan apatah lagi rancangan tersebut berkonsep kekeluargaan.
“Rancangan #familiduotv3 memang berkonsepkan family. Kekeluargaan. Memang soalan tentang, suami, anak , isteri, ibu & ayah akan acapkali ditanya. Lebih-lebih lagi kalau suami mereka agak dikenali,” katanya.
Janna berharap agar orang ramai berhenti melibatkan namanya dalam masalah rumah tangga Zainal Abidin selain memohon maaf kepada isteri bekas jurulatih tersebut.
“Saya juga memohon maaf secara terbuka kepada isteri pertama tersebut sekiranya gurauan itu telah pun menyakitkan hati. Sebagai pengacara saya akui segala kekurangan adalah kelemahan saya sendiri dan yang baik itu dari Allah SWT,” ujarnya.
Terdahulu, berlaku pertengkaran antara Fyna dan isteri pertama di sebuah restoran mamak di Shah Alam pada pagi Isnin.
Sumber: Instagram Janna Nick