fbpx

Pelakon dan pelawak tanah air terkenal iaitu Azlee Senario baru-baru ini dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dipercayai rebah di rumahnya akibat komplikasi jantung.

Jantung Azlee Senario Tersumbat 99 Peratus

Memetik laporan Mstar, Azlee kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) untuk pemantaun selepas menjalani prosedur angiografi dan pemasangan stent (tiub kecil) sejurus mendapat tahu jantung Azlee telah tersumbat 99 peratus.

Perkara tersebut disahkan dan dimaklumkan sendiri oleh isteri Azlee iaitu Aslinda Ayob. Katanya, doktor mengesahkan jantung suaminya tersumbat dengan teruk dan perlu menjalani prosedur pemasangan stent dengan segera.

Selepas menjalani prosedur berkenaan, Azlee atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar,56, dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.

“Alhamdulillah keadaannya stabil namun perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang,” jelasnya.

Mengadu Rasa Berpeluh Dan Dada Rasa Ketat

Berkongsi lanjut, Aslinda memaklumkan bahawa suaminya mula menunjukkan simptom-simptom seperti berpeluh dan sesak nafas setelah selesai kerja pada petang kelmarin.

“Dia balik mesyuarat pukul 5.30 petang semalam. Dia rasa berpeluh, panas dan mengadu dadanya sakit rasa ketat. Setahu saya, dia tidak ada sakit jantung tetapi dia memang ada darah tinggi. Sudah 10 tahun ambil ubat selain masalah gout.

“Kadang-kadang tangannya kebas tetapi saya ingat itu simptom kencing manis”, kongsinya.

Aslinda kemudiannya terus membawa suaminya ke klinik berhampiran sebelum doktor mengarahkan Azlee untuk ke hospital selepas mendapati keadaanya berada dalam keadaan kritikal.

“Selepas pergi ke klinik, kami sempat balik ke rumah tetapi dia memang tidak dapat menahan sakit. Saya telefon ambulans dan terus dia dibawa ke zon merah Hospital Sungai Buluh tetapi tak sampai 10 minit doktor minta pengesahan untuk bawa ke IJN kerana keadaannya yang membimbangkan,” katanya.

Ujar Aslinda, Azlee tidak pernah lagi kena serangan jantung dan berkemungkinan mereka tidak perasan akan simptom yang dihadapi Azlee itu.

Kredit: Mstar

[fbcomments]