Jodoh tidak mengira usia, itulah ungkapan yang sesuai buat pasangan Elya Sudirman, 50, yang bertemu jodoh bersama suaminya, Mohamad Aizat Aiman Halim, 27, di aplikasi TikTok.
Berkenalan Tidak Sampai Setahun, Terus Buat Keputusan Untuk Berkahwin
Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun selepas semasa usia Elya 49 tahun dan suaminya ketika itu 26 tahun.
Elya memaklumkan bahawa dia tidak menyangka akan bertemu jodoh sekali lagi selepas perkahwinan pertamanya berakhir dengan penceraian.
“Kami berkenalan tidak sampai setahun dan terus melangsungkan perkahwinan. Saya dan suami disatukan pada 12 November 2023 di Pontian, Johor,” katanya.
Pada Mulanya Keluarga Tak Setuju Sebab Jarak Usia Jauh, Namun Akhirnya Dipermudahkan
Pada masa yang sama, Elya turut mendedahkan bahawa pada mulanya keluarga Elya tidak bersetuju untuk Elya berkahwin dengan pilihan hatinya atas sebab jarak umur yang jauh iaitu sejauh 23 tahun.
“Reaksi keluarga ketika itu terutamanya abang saya, tidak berapa berkenan kerana beza usia pada masa itu 23 tahun, jadi mereka tidak yakin dengan perkahwinan ini.
“Apabila suami datang bertemu keluarga saya dan tunjuk kesungguhan datang dari Kedah ke Johor untuk beri keyakinan dan dia nyatakan keikhlasannya hendak memperisterikan saya, barulah keluarga saya yakin menerima dia (suami),” cerita Elya lagi.
Tambah Elya, keluarga suami menerimanya dengan sangat baik.
“Mereka menerima saya seadanya dan tiada langsung wujud penentangan daripada keluarga pihak lelaki. Saya ada empat anak dari perkahwinan terdahulu dan kesemua mereka menerima pilihan saya dengan baik,” jelasnya.
Hidup Kian Bahagia Bersama Suami Muda
Elya yang berasal dari Pontian, Johor kini tinggal di rumah mentuanya di Sik, Kedah.
Kongsinya, sepanjang menghampiri setahun bersuamikan lelaki muda dia amat bahagia kerana sikap saling mempercayai dan bertolak ansur diamalkan mereka berdua.
“Saya sekarang suri rumah dan suami bekerja sebagai pemandu lori. Dalam kehidupan berumah tangga ini bagi saya yang penting jujur. Jika ada masalah kena terus terang dan jangan dipendam,” ujarnya.
Kredit: Sinar Harian