Jenazah bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dilaporkan akan dikebumikan di Pekan, Pahang pada hari ini.
Jenazah Dituntut Hari Ini Dan Akan Dikebumikan Di Pekan
Abang mangsa iaitu Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, memaklumkan jenazah adiknya akan dituntut setelah semua prosedur selesai, namun butiran lanjut mengenai masa pengebumian dan lokasi tanah perkuburan masih belum diperincikan.
Difahamkan juga, sejak awal pagi tadi beberapa pengamal media telah berkumpul di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, namun sehingga jam 8.30 pagi, tiada ahli keluarga atau rakan Nur Farah yang kelihatan.
Menurut Sinar Harian, punca kematian Nur Farah Kartini masih belum dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang telah reput di bahagian dada dan muka.
Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa pihak Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal ke atas beberapa sampel biologi yang diambil daripada mayat sebelum dapat menentukan punca sebenar kematian.
“Buat masa ini, pakar tidak dapat mengesahkan sebab kematian kerana keadaan mayat yang telah reput, terutama di bahagian dada serta muka. Keputusan analisis makmal diperlukan untuk menolak kemungkinan sebab-sebab lain yang berkaitan dengan kematian mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kereta jenis Toyota milik suspek yang juga kenalan mangsa telah dirampas untuk membantu siasatan lanjut.
Kredit: Sinar Harian, Harian Metro