Pelawak terkenal dan penyampai radio iaitu Jep Sepahtu, baru-baru ini menyuarakan rasa kecewa dan kemarahan di media sosial selepas mendapati namanya digunakan sebagai bahan perbincangan dalam sebuah podcast.
Terkilan Nama Dipetik Untuk Content Dan Cerita Banyak Ditokok Tambah
Jep, atau nama sebenarnya Muhd Nadzri Zainal Abidin, menunjukkan rasa kesal dengan tindakan beberapa rakan selebriti yang didakwa sengaja memanfaatkan namanya untuk menarik perhatian.
Dalam sebuah hantaran di Instagram, Jep memaklumkan bahawa dia rasa malas untuk melayan isu-isu remeh tetapi berasa terpaksa berbuat demikian kerana isu tersebut semakin menjadi-jadi.
“Aku ni sebenarnya malas nak layan hal-hal remeh tapi bila dibiarkan makin seronok pula mereka sembang. Dah tak ada nama lain ke nak tunggang?,” tulis Jep dengan nada kesal.
Jep, yang kini berusia 38 tahun, turut menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan dalam podcast tersebut tidak sepenuhnya benar.
“Apa yang aku boleh cerita, dalam podcast tu kebanyakannya direka dan ditokok tambah. Harap tak ada yang bertanya lagi,” tambahnya.
Walaupun Jep tidak memberikan maklumat lanjut mengenai podcast atau individu yang terlibat, perkongsiannya mendapat pelbagai reaksi dari netizen.
Ada yang bersetuju dengan pandangannya mengenai podcast tersebut, sementara ada juga yang berpendapat tiada salahnya dengan isi kandungan podcast berkenaan.
Beberapa netizen menunjukkan rasa sedih melihat situasi seperti ini berlaku dalam kalangan pelawak yang pernah menghiburkan mereka.
Difahamkan, podcast tersebut dikendalikan oleh beberapa selebriti tempatan, termasuk seorang pelawak yang merupakan rakan lama Jep sejak zaman sekolah. Podcast ini mengisahkan pelbagai pengalaman mereka bersama dalam pertandingan lawak televisyen.
Namun, kini hubungan mereka kelihatan semakin renggang, menimbulkan rasa simpati dalam kalangan peminat yang mengikuti perkembangan mereka.
Kredit: Instagram jepsepahtu