fbpx

Sepasang pasangan suami isteri dikenakan denda sebanyak RM3,000 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu semalam akibat menjual makanan kepada orang beragama Islam yang tidak berpuasa.

Suami Isteri Dikenakan Denda

Berdasarkan laporan Harian Metro, pasangan yang berusia 57 tahun dan 55 tahun itu bakal berdepan dengan hukuman penjara selama enam bulan jika mereka gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Syarie Zamzam Ismail selepas pasangan ini yang juga merupakan pemilik kedai makan mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Menurut fakta kes, pasangan terbabit didakwa menjual makanan kepada orang beragama Islam pada waku berpuasa di sebuah kedai pada jam 11.25 pagi semalam.

Sementara itu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga merupakan pelanggan di kedai berkenaan pada hari mereka diserbu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 19 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Sekadar info, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menetapkan urus niaga makanan dan minuman membabitkan pengusaha, pemilik dan pelanggan beragama Islam hanya dibenarkan bermula jam 3 petang sepanjang Ramadan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]