Seorang peniaga di Kampung Simpang Tok Ku, Terengganu menjadi tumpuan ramai apabila menawarkan pakaian sekolah pada harga yang luar biasa murah, khusus bagi membantu golongan kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

Peniaga Jual Baju Sekolah 3 Helai Untuk RM10

Mohd Azrol Azhar, 38, berkata keputusannya menjual tiga helai pakaian sekolah dengan harga hanya RM10 bukan didorong keuntungan, tetapi lebih kepada usaha meringankan beban ibu bapa, terutama yang mempunyai ramai anak.

“Saya sedar kos sara hidup semakin tinggi dan ramai yang bergelut untuk menyediakan pakaian sekolah bagi anak-anak mereka. Jadi, saya ambil keputusan untuk menjual dengan harga serendah mungkin tanpa terlalu memikirkan keuntungan,” katanya.

Tambahnya, dia sanggup melaburkan hampir RM300,000 untuk mendapatkan stok pakaian sekolah, termasuk baju, seluar, kain, tudung, dan stokin. Walaupun margin keuntungan sangat kecil, kepuasan membantu lebih 10,000 keluarga yang datang ke kedainya jauh lebih bermakna.

Sejak tular di media sosial, premis perniagaannya diserbu pelanggan yang ingin mendapatkan pakaian sekolah pada harga mampu milik. Tahun ini sahaja, lebih 100,000 helai pakaian habis terjual dalam tempoh seminggu.

Apa yang lebih mengharukan, ada pelanggan yang membeli dalam jumlah besar untuk diagihkan kepada jiran serta penduduk setempat yang memerlukan. Malah, Mohd Azrol sendiri turut memberikan pakaian secara percuma kepada mereka yang benar-benar tidak berkemampuan, sebagai satu bentuk sedekah.

Salah seorang pelanggan, Nik Mohd Syahmin Khalid, 37, sanggup datang dari Kuala Berang demi mendapatkan pakaian sekolah untuk tiga anak perempuannya yang masih bersekolah.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

[fbcomments]