Pelakon drama, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29 bersama tiga rakan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Januari lalu.
Menurut laporan Astro Awani, mereka berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja di sebuah kedai vape.
Selain Saif yang merupakan pemilik kedai tersebut, yang terlibat merupakan dua pekerjanya iaitu HS Sarvinder Singh, 23, dan Delson Dean Samson Akmal, 26, dan seorang peniaga burger, Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30.
Sebutan semula kes pada 31 Mac
Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Majistret Wong Chai Sia, hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan memberitahu tiada laporan kimia bagi kes berkenaan diterima. Susulan itu, pihak mahkamah menetapkan tarikh 31 Mac ini sebagai sebutan semula kes.
Dalam kes ini, tertuduh pertama Sarvinder Singh diwakili peguam, S Shastidaran manakala tiga tertuduh lain oleh peguam, Mohamed Ashmeer Ashrof.

Pada 10 Januari lalu, mereka telah didakwa namun tiada pengakuan direkodkan daripada selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret berkenaan selain hukuman berkenaan berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, mereka dilaporkan ditahan selepas dipercayai menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama pada 3 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada sembilan sebatan dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Sekadar info, Said pernah popular menerusi beberapa buah drama termasuk Hati Tanpa Rasa, Jodoh Kanan Kiri Kanan dan Umar Hatta.
Sumber: Astro Awani