Beberapa minggu yang lepas tular satu kejadian di mana seorang pelanggan yang membeli makanan di bazar Ramadan telah menjumpai sepotong kain buruk di dalam murtabak yang dibeli olehnya.

Susulan isu tersebut mendapat perhatian ramai selepas ia dimuat naik di media sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak mengeluarkan kompaun terhadap pemilik gerai terbabit kerana cuai sehingga meninggalkan cebisan kain kotoran di dalam makanan.

KKM Keluarkan Kompaun Terhadap Pemilik Gerai Murtabak Terbabit

Difahamkan, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sudah menjalankan siasatan lanjut dan pihak mereka mendapati terdapat kecuaian semasa pengendalian makanan hingga menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam murtabak itu.

“Beberapa kesalahan lain yang dikenal pasti telah dilakukan pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap gerai yang menjual makanan itu dengan mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

KKM Pandang Serius Terhadap Setiap Aduan Yang Tular Di Media Sosial

Tegas KKM lagi, pihak mereka amat memandang serius terhadap aduan yang tular di media sosial mengenai pencemaran makanan selepas penemuan kain dalam murtabak yang dibeli di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. KKM turut sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara dengan 10,570 premis bazar Ramadan diperiksa setakat ini.

“KKM ingin mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.

“Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan.

“Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

KKM juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli.

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Kredit: X redzuanNewsMPB

[fbcomments]