fbpx

Pada Jumaat lalu, seorang juruteknik dilaporkan kritikal selepas disengat ratusan tebuan ketika sedang membaik pulih pencawang elektrik, dipercayai berlaku di Kampung Morak pada jam 6.30 petang.

Namun selepas 48 jam bertarung nyawa, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hasmawi Mohd Saupi, 38, telah dikhabarkan meninggal dunia pada petang semalam.

Mengalami Darah Beku Seluruh Badan Akibat Disengat Tebuan

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Kosmo! Online, mangsa menghembuskan nafas terakhir pada jam kira-kira 5.30 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Zainab II, Kota Bharu. Menurut kenyataan dari ibu mangsa iaitu Aminah Awang, anaknya meninggal dunia akibat mengalami darah beku seluruh badan disebabkan sengatan tebuan.

Insiden Pertama Berlaku Sepanjang 10 Tahun Bekerja Sebagai Juruteknik

Difahamkan, Allahyarham ditidurkan sebelum meninggal dunia di hadapan ahli keluarga di hospital berkenaan semalam. Ibu kepada arwah juga turut tidak terkata kerana sengatan tebuan boleh membuatkan anaknya diambil nyawa selamanya.

“Kejadian itu amat mengejutkan dan saya sendiri tidak menyangka sengatan ratusan ekor tebuan boleh meragut nyawa Mohd Hasmawi. Ia juga merupakan insiden pertama yang berlaku ke atas anak saya sepanjang 10 tahun bertugas sebagai juruteknik. Arwah meninggalkan seorang balu yang bekerja sebagai guru dan empat anak berusia lima hingga 13 tahun”, jelas Aminah.

Jenazah Mohd Hasmawi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Padang Kala, Peringat, Kota Bharu pada jam 6.30 pagi, Isnin.

Kredit: Kosmo! Online

[fbcomments]