Kakak kepada mangsa pembunuhan dengan kejam Bella atau Mila Sharmilah Samsusah iaitu Norhisham, 36, dilaporkan telah ditahan polis pada awal pagi tadi dan direman selama sehari bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.
Kakak Bella Ditahan Polis
Memetik laporan Berita Harian, difahamkan laporan polis dibuat ke atas Norhisham oleh keluarga tertuduh yang kononnya mendakwa dia telah menyiarkan gambar kanak-kanak, dipercayai anak angkat tertuduh ketika bersiaran langsung di laman TikTok baru-baru ini.
Norhisham telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada pagi tadi sambil ditemani dua peguamnya iaitu Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan bagi mendapatkan perintah reman.
Dalam pada itu, peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan memaklumkan bahawa anak guamnya itu direman sehari selepas mahkamah menolak permohonan pegawai penyiasat untuk reman tiga hari.
“Sebaliknya, anak guam kami langsung tidak mendedahkan muka seperti mana didakwa dalam laporan dibuat sebelum ini. Ketika proses permohonan reman, kami mengemukakan beberapa sebab kenapa anak guam tidak boleh direman terlalu lama. Kalau nak tahan reman, mesti ada sebab tetapi alasan dikemukakan pegawai penyiasat tidak membawa kepada sebab munasabah,” jelas peguam kakak Bella.
Norhisham disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dakwaan mengatakan gambar digunakan anak guam terbabit dengan jenayah.
Kredit: Berita Harian