Keluarga kepada lelaki yang didakwa menyerang seorang remaja perempuan menggunakan objek tajam di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling, semalam, masih terkejut dengan insiden yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila mangsa rupa-rupanya merupakan ahli keluarga mereka sendiri.

Kakak Suspek Tergamam, Mangsa dan Suspek Rupanya Ahli Keluarga Sendiri

Kakak kepada suspek, wanita berusia 35 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, berkata keluarganya tidak menyangka adiknya akan dikaitkan dengan kejadian yang melibatkan adik ipar mereka sendiri. Menurutnya, mangsa yang berusia 19 tahun baru tiga bulan menetap berdekatan rumah keluarga mereka di Tangga Batu selepas mula bekerja di sebuah kilang sarung tangan di kawasan tersebut.

“Adik saya sebelum ini tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap atau tanda-tanda tekanan. Dia seperti biasa sahaja, tak pernah pula mengadu ada masalah dengan sesiapa,” katanya yang mengakui masih sukar menerima kenyataan mengenai apa yang berlaku.

Yati turut memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut demi menjaga emosi kedua-dua belah pihak yang kini masih terkesan.

“Kami sendiri pun masih keliru dengan apa sebenarnya yang berlaku. Mangsa pun keluarga kami sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang semalam ketika mangsa sedang membonceng motosikal bersama kakak iparnya di Jalan Tangga Batu.

Mangsa mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter di bahagian pinggang akibat dilibas objek tajam oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan hubungan antara suspek serta mangsa sedang diteliti bagi membantu siasatan.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]