Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan insiden melibatkan seorang murid perempuan yang cedera selepas kakinya tercucuk pin lencana Jalur Gemilang, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai aspek keselamatan pemakaian lencana tersebut di sekolah.
![]()
Kaki Pelajar Tercucuk Pin Lencana Malaysia, Ibu Bapa Luah Rasa Bimbang
Lencana berbentuk pin itu sebelum ini diwajibkan untuk dipakai oleh semua pelajar sekolah bermula 21 April 2025 sebagai langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Dua unit lencana turut diberikan secara percuma kepada setiap pelajar.
Namun, selepas insiden yang tular itu, ramai ibu bapa dan warganet tampil menyuarakan kebimbangan, khususnya apabila melibatkan murid sekolah rendah yang dianggap masih belum mahir mengendalikan objek tajam seperti pin.
![]()
Menurut perkongsian pengguna media sosial, kejadian tersebut berlaku apabila pin lencana yang tercabut daripada baju abangnya tidak disedari oleh adiknya yang kemudian terpijak objek tajam itu di dalam kereta.
Ekoran kejadian itu, ramai yang mencadangkan agar pihak kementerian mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti lencana berbentuk pelekat atau dijahit terus pada pakaian sekolah.
![]()
Mereka juga berpendapat bahawa pemakaian pin seperti itu tidak sesuai untuk pelajar berusia lapan tahun ke bawah memandangkan tahap keupayaan dan kesedaran keselamatan mereka yang masih rendah.
Rata-rata komen netizen menyokong cadangan tersebut dan menggesa pihak KPM menilai semula bentuk pemakaian lencana bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terjejas.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kementerian berhubung insiden berkenaan.
Kredit: Facebook MdErfand Ghazali