Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menegaskan para sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak pernah menganggap diri mereka sebagai wira.

Jelasnya, penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham terhadap tujuan sebenar penyertaan mereka dalam misi berkenaan.

Sukarelawan GSF Nafi Anggap Diri Sebagai Wira, Hanya Teruskan Perjuangan Gaza

Ahmad Musa berkata, kepulangan mereka pada Selasa lalu sepatutnya dilakukan secara sederhana kerana tiket penerbangan pulang sudah dibeli dan semua peserta bersetuju untuk pulang secara diam-diam. Namun, tarikh serta waktu ketibaan mereka di tanah air akhirnya diketahui umum, menyebabkan perubahan rancangan dan sambutan luar biasa tercetus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1).

“Dan bukankah sangat baik apabila sambutan semalam mengingatkan kita juga pada perjuangan saudara kita di Gaza?” katanya menerusi hantaran di Threads.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan itu tidak wajar ditafsir sebagai kemasyhuran, sebaliknya ruang untuk terus menyebarkan kesedaran tentang Palestin.

“Kami tak pernah anggap kami hero. Malah Tuan Nadir berulang kali sebut sebaik kami keluar dari kapal terbang, ‘Istighfar banyak-banyak. Jaga hati. Ini bukan pasal kita. Ini tentang mereka di Gaza,’” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 23 sukarelawan GSF selamat tiba di KLIA1 pada jam 10.07 malam, Selasa lalu selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel. Mereka sebelum itu ditahan sejak 2 Oktober ketika menyertai misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza.

Kredit: Threads musanuwayri

[fbcomments]