Walaupun diuji dengan kejadian letupan dan kebakaran gas yang mengejutkan di Putra Heights baru-baru ini, sebahagian mangsa yang terjejas tetap memilih untuk tidak menerima bantuan zakat yang disediakan.

Bukan kerana tidak menghargai, tetapi atas rasa tanggungjawab dan keyakinan bahawa mereka masih mampu meneruskan hidup tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan.

Sebahagian Mangsa Letupan Putra Heights Tolak Bantuan Asnaf RM500, Anggap Masih Mampu Berdikari

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Khaidzir Shahari, pihaknya sebelum ini telah menghulurkan bantuan awal berjumlah RM500 kepada setiap mangsa yang layak. Namun, terdapat segelintir individu yang menolak bantuan tersebut atas alasan mereka adalah pembayar zakat, bukan penerima.

“Walaupun ada yang menolak, kami tetap cuba hubungi mereka satu per satu. Tujuan kami hanya satu – nak bantu mereka yang memerlukan,” katanya.

LZS dalam masa yang sama sedang giat menjejaki mangsa yang mungkin tidak mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS), terutamanya mereka yang memilih untuk tinggal bersama saudara atau kenalan selepas kejadian berlaku.

Insiden tersebut melibatkan kira-kira 300 penduduk beragama Islam di kawasan terjejas, termasuk 166 individu yang telah dikenal pasti sebagai asnaf. Bagi memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan, LZS turut menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelas Mohd Khaidzir, bantuan ini merupakan langkah awal sementara menunggu data lengkap diterima sebelum bantuan susulan dapat disalurkan secara menyeluruh.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

 

[fbcomments]