Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kanak-Kanak 10 Tahun Meninggal Dunia Selepas Tercekik Gula-Gula Mata Kenyal
Perkara itu disahkan ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, yang memaklumkan bahawa anak saudaranya, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 malam tadi.
“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai, Penaga, sebelum diuruskan dan dikebumikan esok pagi (Jumaat),” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas insiden yang berlaku di sebuah kelas Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, sekitar jam 2.30 petang, Selasa lalu.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berada di dalam kelas sebelum dia mengalami kesukaran bernafas akibat tersedak gula-gula berkenaan. Guru yang menyedari keadaan tersebut segera bertindak dan cuba membantunya, namun kanak-kanak itu kemudiannya rebah dan tidak sedarkan diri sebelum pihak ambulans dipanggil.
Menurut sumber, pasukan perubatan yang tiba di lokasi sempat melakukan panggilan video dengan guru terbabit bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan mangsa. Ketika itu, guru berkenaan diminta untuk memeriksa bahagian dalam mulut kanak-kanak itu sebelum menemui gula-gula yang tersekat di kerongkongnya.
“Ketika menerima pakaian Fahmi dari pihak hospital, kami turut menemui sebiji lagi gula-gula yang sama dalam poket bajunya,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, meluahkan rasa sedih apabila melihat keadaan anaknya ketika kejadian.
“Saya memang ‘down’ selepas tengok mata hitam dia naik ke atas, muntah keluar ikut mulut dan hidung,” katanya.
Menurutnya, doktor telah memaklumkan bahawa harapan untuk anaknya pulih adalah sangat tipis.
“Otak dah bengkak, ada saluran darah pecah dan terdapat darah beku. Doktor kata mereka tak boleh buat apa sebab oksigen ke otak dah tak sampai,” katanya sebak.
Kredit: Harian Metro, Sinar Harian