Berita kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk bebola mata baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan ramai.

Difahamkan, kanak-kanak itu membeli gula-gula berkenaan daripada seorang penjual di luar kawasan sekolahnya di Pulau Pinang, dan produk tersebut turut dijual secara dalam talian, termasuk di platform TikTok.

Tragedi Gula-Gula Kenyal, KKM Ambil Tindakan Larang Jualan di Semua Platform

Berikutan kejadian tragis ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan bahawa bentuk dan saiz sesuatu makanan tidak tertakluk di bawah kawalan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

Namun, bagi konfeksi jeli yang berdiameter 45 milimeter atau kurang, peraturan menetapkan bahawa label amaran seperti “AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK” mesti dipaparkan pada bungkusan produk. Selain itu, makanan bersaiz besar yang berisiko menyebabkan tercekik juga perlu dilabel dengan amaran “TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN.”

Hasil siasatan KKM mendapati produk gula-gula kenyal berbentuk bebola mata ini melanggar peraturan pelabelan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Sehubungan itu, pihak KKM telah melarang penjualan produk tersebut di semua platform, termasuk pasaran domestik dan dalam talian. Mana-mana pihak yang masih menjual produk ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk rampasan barangan.

KKM menegaskan bahawa makanan yang berbentuk bulat dengan tekstur kenyal, kecil, dan keras boleh meningkatkan risiko tercekik, terutamanya jika tidak dikunyah dengan betul.

Oleh itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan untuk anak-anak bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Kredit: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

 

[fbcomments]