Seorang kanak-kanak Orang Asli berusia 10 tahun bernama Nuraina Humaira Rosli, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan mati di kawasan berpaya berdekatan perkampungan Orang Asli di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput.
Dibunuh Dan Dirogol Sebelum Mayat Dibuang Dalam Paya
Berdasarkan hasil bedah siasat, kes ini yang pada asalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, setelah terdapat penemuan kecederaan akibat tekanan pada leher serta kesan koyakan pada kemaluan mangsa, yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jenayah seksual.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput iaitu Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin mengesahkan bahawa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa telah ditahan pada petang hari kejadian untuk membantu siasatan.
Menurut maklumat yang diperoleh, Nuraina dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk membeli ayam pada hari Jumaat. Pihak polis, dengan bantuan kira-kira 60 individu yang terdiri daripada anggota bomba dan penduduk kampung, memulakan operasi mencari mangsa pada pagi Sabtu, dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia.
Usaha pencarian itu akhirnya membuahkan hasil pada jam 4.20 petang, apabila mayat Nuraina ditemukan di kawasan berpaya berdekatan kediamannya.
Superintendan Mohd Khaizam juga memaklumkan bahawa mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat lanjut. Berdasarkan siasatan awal, Nuraina yang mempunyai masalah pendengaran, telah keluar untuk membeli ayam selepas diberi wang oleh ibunya, namun gagal mendapatkan barangan tersebut.
Ketika menunggu bapa saudaranya untuk membawanya ke kedai lain, dia dilihat bermain di taman permainan berdekatan sebelum hilang tanpa jejak.
Kehilangan Nuraina telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung yang segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Walaupun pencarian dilakukan dengan segera, malangnya ia berakhir dengan penemuan yang tragis.
Kredit: Berita Harian