Seorang kanak-kanak perempuan hampir kehilangan nyawa selepas didakwa diserang seorang lelaki di Taman Bakawali, Bukit Sentosa 3 pada Khamis, kira-kira jam 6.50 petang.

Kejadian itu dikongsi oleh bapa mangsa, Nett Adnan, melalui hantaran di Facebook yang kini tular, mengundang kebimbangan ramai mengenai keselamatan kanak-kanak.

Ditarik Masuk Rumah, Kanak-kanak Perempuan Diserang Lelaki di Rawang

Menurut Nett, ketika kejadian, tiga anaknya berjalan kaki ke pasar malam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

“Anak aku Raisha Falisha (adik) hampir hilang nyawa dek kerana seorang manusia yang tak ada akal. Biasanya aku tak lepaskan mereka pergi sendiri, tapi hari ini aku dan isteri kurang sihat,” katanya.

Nett mendakwa Raisha Falisha tiba-tiba dikejar oleh seorang lelaki sebelum ditarik masuk ke sebuah rumah. Abang mangsa segera mengejar dan menjerit meminta tolong, tetapi suspek bertindak agresif dengan memijak, menendang dan menendang kepala mangsa berkali-kali, sebelum akhirnya cuba mencekik. Kejadian itu hanya berhenti apabila jiran bertindak menyelamatkan mangsa. Nett mengucapkan terima kasih kepada jiran dan orang awam yang prihatin kerana bertindak pantas.

Ketiga-tiga anak Nett kini masih mengalami trauma akibat kejadian itu. Nett turut memberi amaran kepada ibu bapa supaya tidak membiarkan anak berjalan sendirian walaupun jaraknya dekat dari rumah, dan menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap penyalahgunaan dadah yang berpotensi mendorong seseorang bertindak di luar kawalan.

Setakat berita ini ditulis, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Kredit: Facebook Nett Adnan

 

[fbcomments]