Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terlibat dalam satu insiden kemalangan selepas memandu kereta milik keluarganya bersama seorang rakan di Taman Arowana Impian pada malam semalam.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu turut melibatkan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang berada di dalam kenderaan tersebut.
Budak 10 Tahun Pandu Kereta Keluarga Hingga Terbabas
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban iaitu Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut terjadi ketika kanak-kanak terbabit memandu sebuah Toyota Corolla milik ibu bapanya. Mereka dikatakan sedang dalam perjalanan dari Apartment Arowana Impian menuju ke Taman Arowana Impian sebelum kenderaan itu hilang kawalan ketika melalui selekoh.
Akibatnya, kenderaan tersebut melanggar sebuah van Toyota yang diparkir di tepi jalan. Impak pelanggaran menyebabkan van tersebut bergerak ke hadapan dan merempuh sebuah kereta Perodua Kancil yang turut diparkir berdekatan.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, kejadian ini menimbulkan kebimbangan terhadap pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Pihak polis mengingatkan agar ibu bapa lebih peka dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan perkara serupa berlaku di masa hadapan.
Polis juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya, termasuk ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit, selaras dengan Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta beberapa undang-undang berkaitan.
Kredit: Berita Harian