Gara-gara takut ditahan kerana disyaki berkhalwat di dalam kereta, sepasang kekasih nekad melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka sejauh kira-kira 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar pada malam tadi.
Pecut Kereta Takut Ditahan Polis Ketika Berdua-Duaan Di Dalam Kereta
Berdasarkan kenyataan dari Ketua Polis Daerah Alor Gajah iaitu Superintendan Ashari Abu Samah, beliau memaklumkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 30 tahun bertindak memecut Perodua Myvi yang dinaiki bersama pasangannya selepas berselisih dengan kereta peronda (MPV Polis) yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan.
“Setibanya di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke dalam sungai dan pemandunya terus melarikan diri dengan berenang ke seberang.
“Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu namun tidak menjumpai barang salah.
“Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun di dalam kereta, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Lelaki Terbabit Mempunyai 3 Rekod Jenayah Lampau Berkaitan Dadah
Ashari menambah anggota peronda kemudiannya menghantar wanita tersebut ke Teluk Gong di mana ia adalah kediaman saudaranya.
“Siasatan mendapati suspek disyaki melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak polis sebab disyaki berkhalwat dengan teman wanita yang baru dikenali di dalam kereta.
“Kereta suspek terbabas sendiri dan tiada sebarang kemalangan membabitkan kenderaan lain dan tiada tangkapan dan rampasan dibuat.
“Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” ujarnya di akhir kata.
Kredit: Berita Harian