fbpx

Pendakwah terkenal Malaysia iaitu Ustaz Kazim Elias atau nama sebenarnya Datuk Mohd Kazim Elias, 52, baru-baru ini mendedahkan punca dirinya disihir buat kali pertama adalah disebabkan percakapannya sendiri ketika memberi ceramah terbuka.

Kali Pertama Disihir Pada Tahun 1997

Memetik laporan Harian Metro, difahamkan Ustaz Kazim telah disihir kira-kira sejak 25 tahun yang lalu disebabkan percakapannya yang membuat orang terasa hati. Ustaz Kazim mengetahui tentang perkara tersebut selepas individu yang menghantar sihir kepada Ustaz Kazim datang bertemu dengannya untuk memohon maaf dan mengakui hal tersebut.

“Kali pertama saya kena sihir pada 1997, yang berpunca daripada percakapan saya sendiri. Ketika itu, saya masih muda, mungkin jadi penceramah yang garang sebab terlalu bersemangat dan lantang apabila berkata-kata.

“Saya tak sangka juga mungkin ada yang saya terlepas cakap ketika itu sehingga buat dia (individu berkenaan) marah. Jadi, apabila dapat tahu orang itu, saya tanya kepadanya mengapa bertindak sampai menyihir saya? Dia (orang itu) cakap, terasa hati dengan apa saya kata ketika hadir dalam ceramah saya.

“Tapi, saya tak tahu langsung perkara itu sebab apa yang saya cakap dalam ceramah ketika itu adalah secara umum saja. Tak tuju pada sesiapa pun, tapi dia (orang itu) dah terasa hati. Saya juga tidak kenal peribadinya,” katanya.

Kena Jaga Pemakanan & Ada Sesetengah Makanan Perlu Dielakkan

Ustaz Kazim turut mendedahkan bahawa dia perlu menjaga pemakanannya kerana terdapat sesetengah hidangan yang perlu dielakkan kerana akan memberi kesan kepadanya selepas dirinya disihir.

“Selain pantang dalam penjagaan makanan harian saya, pada masa sama, saya juga perlu berpantang ketika bercakap sebab takut boleh buatkan orang lain terasa hati. Sekarang, saya ambil keputusan sangat berhati-hati.

“Malah, kesan daripada santau dialami itu, saya perlu jaga makan yang sampai sekarang tak boleh makan rebung, limau nipis, kambing dan minum air tebu sebab semua itu ada bisa. Kalau saya termakan juga, mesti badan akan jadi sakit dan perut saya pedih,” luahnya.

Susulan itu, Ustaz Kazim menitipkan nasihat kepada para pendakwah yang lain agar lebih berhati-hati dalam memberikan ceramah agar tidak membuatkan orang yang mendengar terasa.

“Saya mohon kepada penceramah dan pendakwah muda baharu yang aktif berceramah kepada masyarakat agar berhati-hati dalam melontarkan kata-kata mereka ketika berceramah kerana kita tidak tahu ia mampu membuatkan orang lain terasa hati.

“Pada kita, mungkin apa yang diperkatakan atau disampaikan itu untuk kebaikan, namun kita tidak tahu ia mungkin kurang baik didengar oleh orang lain dan menyebabkan hingga terasa hati. Jadi, berhati-hatilah ketika bercakap,” ujarnya di akhir kata.

Sekadar info, Ustaz Kazim pada ketika ini sedang mempromosikan filem terbarunya arahan selebiti terkenal, Mawi bertajuk Zam Zam Ala Kazim.

Filem ini dibintangi oleh Ustaz Kazim dan hampir 70 peratus adalah kisah benar daripada pengalamannya sendiri iaitu berkaitan perbuatan ilmu hitam dan juga sihir.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]