Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, yang dikenali sebagai penulis surat layang dalam kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain, baru-baru ini menerima pujian meluas daripada orang ramai.
Surat layang yang ditulisnya bertujuan untuk memaklumkan pihak berkuasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengenai penderaan yang dialami oleh Zulfarhan dari rakan-rakannya.
Netizen Berterima Kasih Kepada Penulis Surat Layang Kerana Berani
Rasa terima kasih orang ramai terhadap keberanian Aiman Aufa kini jelas kelihatan di ruangan komen akaun Instagram yang dipercayai miliknya.
Difahamkan selain Aiman Aufa, seorang lagi individu bernama Akmal Akif adalah salah seorang penyelamat yang berusaha menyelamatkan Zulfarhan dengan menulis surat layang kepada jurulatih yang bertugas, berharap tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan nyawa mangsa.
Malangnya, kedua-dua usaha tersebut tidak berhasil. Surat layang pertama telah disebarkan oleh jurulatih melalui aplikasi WhatsApp, sementara surat kedua ditemui lebih awal oleh penuntut lain sebelum sempat diambil tindakan.
Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM yang didapati terlibat dalam pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Keenam-enam tertuduh, yang kini berusia 28 tahun, terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, dijatuhkan hukuman berat tersebut setelah didapati bersalah dalam kes tragis ini yang berlaku tujuh tahun lalu.
Kredit: Instagram aufa_aimann