fbpx

Ibu kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain iaitu Hawa Osman, meluahkan rasa geram dan kecewa terhadap tindakan seorang bomoh yang dikatakan terlibat dalam kematian anaknya pada tujuh tahun yang lalu.

@mingguanwanita

“Pada bomoh yang tuduh anak saya tu, bertaubatlah. Datang minta maaf pada kami dan seluruh rakyat Malaysia,” ini luah Puan Hawa ibu kepada arwah Zulfarhan. Ada banyak lagi dikongsikan oleh ibu bapa arwah termasuk reaksi terkejut wajah keenam-enam tertuduh yang sebelum itu dilihat melambai-lambai serta wajah keriangan bila Hakim mengumumkan mereka ke tali gantung. Saksikan temubual penuh bersama kedua ibu bapa arwah di YouTube Mingguan Wanita esok. #mingguanwanita #temansetiapwanita #zulfarhan

♬ original sound – MingguanWanita – MingguanWanita

Ibu Zulfarhan Harap Bomoh Dapat Nasib Yang Setimpal Seperti Mana Arwah Anaknya Diperlakukan

Menerusi satu temu bual bersama Mingguan Wanita baru-baru ini, Hawa, 61, menyatakan bahawa dia amat berharap agar bomoh tersebut segera bertaubat dan tampil menghadap keluarganya untuk memohon maaf.

Hawa mengakui betapa dirinya merasa sangat terganggu dengan tindakan bomoh tersebut dan berharap agar individu itu mendapat hukuman yang setimpal, sama seperti yang dirasakan oleh anaknya.

“Saya harap bomoh itu bertaubat dan jika boleh, dia datanglah berjumpa dengan kami untuk memohon maaf. Saya juga berharap dia dikenakan hukuman yang adil, supaya dia merasai sendiri kesakitan yang dilalui oleh anak saya,” ujarnya.

Menurut Hawa, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah dituduh mencuri sebuah komputer riba setelah namanya disebut oleh bomoh tersebut. Akibat tuduhan itu, Zulfarhan telah dibuli dan dipukul dengan teruk, termasuk ditekap menggunakan seterika wap, yang akhirnya menyebabkan kematiannya pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang. Hawa menegaskan bahawa umat Islam seharusnya tidak bergantung kepada bomoh, tetapi harus meminta pertolongan langsung daripada Allah SWT.

“Kita sepatutnya memohon pertolongan kepada Allah. Ada bomoh yang mungkin boleh dipercayai, tetapi bomoh ini hanya menggunakan alat dan kononnya atas nama arwah tentera. Selama ini mereka hanya bercakap tentang saudara atau orang terdekat tanpa menyebut nama,” ujar Hawa.

Sementara itu, keputusan mahkamah baru-baru ini menyaksikan Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Keenam-enam tertuduh tersebut adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Panel hakim yang terdiri daripada tiga orang, diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail, telah memutuskan secara sepakat untuk menerima rayuan pendakwaan dan mengembalikan tuduhan bunuh terhadap enam bekas penuntut UPNM mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: TikTok Mingguan Wanita

[fbcomments]