fbpx

Semalam rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian seorang ustaz yang dikenali sebagai Dr Mohd Soberi Awang yang ketika itu sedang menyampaikan kuliah Subuh rebah secara tiba-tiba di surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, pagi semalam.

Khabar duka itu telah membawa rasa hiba kepada semua orang termasuk anak perempuan tunggal Allahyarham iaitu Nadharul Hana’ yang berkongsi luahan mengenai insan tercinta dalam hidupnya.

Kematian Yang Dicemburui

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada perkongsian yang dimuat naik oleh anak Allahyarham, beliau memaklumkan pemergian bapa tersayang amat pedih untuk diterima.

“Hakikat menerima pemergian baba tersayang amat pedih untuk diterima. Tetapi apa yang saya tahu, saya tak pernah rasa setenang ini. Sedih tapi perasaan lega itu mengatasi sedih. Sedih mungkin kerana tidak dapat bersua muka lagi, tidak dapat bermanja dan berkongsi cerita, apatah lagi ingin meluahkan masalah”, luahnya.

“Tapi Allah hadirkan rasa tenang dan kelegaan apabila tahu baba pergi dalam keadaan yang sangat baik, dan orang sekelilingnya semua mengatakan yang baik-baik. Sungguh ucapan dan hantaran kenalan, pelajar serta semua yang menegenali baba mengubat rasa sedih di hati”, ujarnya lagi di laman Facebook.

Allah Detikkan Hatinya Untuk Membuat Persiapan Sebelum Pemergian Bapanya

Berdasarkan perkongsian Nadharatul lagi, beliau meluahkan bahawa hatinya terdetik untuk melakukan sesuatu yang penuh bermakna sebelum pemergian bapanya.

“Allah detikkan hati saya sebulan lebih dengan mengingati sepotong ayat al-Quran sebelum kehilangan baba. Setiap kali nak tidur, saya akan teringat ayat ini. Tak tahu kenapa, mungkin Allah inginkan hati saya sedia menerima pemergian baba walaupun terlalu mengejut. Ayat ini semakin kerap berlegar di kepala saya minggu lalu lepas tahu baba tak sihat, katanya gastrik”, jelas Nadharatul.

Ini adalah ayat yang beliau selalu ucapkan bersama terjemahan:

“ وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰ⁠لِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ (155)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَ ٰ⁠جِعُونَ (156)

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

أُو۟لَـٰۤىِٕكَ عَلَیۡهِمۡ صَلَوَ ٰ⁠تࣱ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةࣱۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ (157)

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Reda Dengan Takdir Yang Ditentukan

“Ketika ayat ini berlegar dalam kepala saya setiap malam, apa yang terdetik dalam hati saya.. ‘Allah, aku reda jika Engkau takdirkan ibu/ayahku pergi dalam keadaan aku jauh daripada mereka. Aku yakin dengan janjiMu. Jadikan aku kuat dan sabar’. Inilah jawapannya. Allah nak saya kuat untuk hari-hari yang mendatang. Persoalan tentang sediakah kita kehilangan orang tersayang?

“Demi Allah, hatta berumur 100 tahun pun kita tak akan sedia kehilangan orang tersayang. Hanya Allah yang tahu kekuatan kita. Hanya Allah tempat saya bergantung. Doakan saya dan mama kuat,” katanya yang turut memaklumkan untuk pulang bersama suami ke Malaysia.

Info tambahan, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan kematian penceramah berumur 59 tahun tersebut dilaporkan pada jam 7.45 pagi dan disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian Allahyarham berpunca daripada serangan jantung.

Kredit: Facebook Nadharul Hana’, Mstar

[fbcomments]