Pelakon komedi Ebby Yus, 57 berharap dia tidak perlu menjalani rawatan dialisis berikutan penyakit buah pinggang yang dialaminya.

Doktor ada memaklumkan kepada Ebby bahawa jantungnya juga sangat lemah iaitu kekuatan sekitar 27 peratus sahaja.

“Tahap kekuatan jantung saya memang dah tinggal 27 peratus. Sekarang pun saya dah balik ke rumah dan perlu menjaga keadaan kesihatan diri sebelum menjalani pemeriksaan semula di hospital bulan depan. Pemeriksaan itu untuk memastikan saya perlu mulakan dialisis atau tidak. Tapi, doktor dah minta saya bersiap sedia.”kata Ebby ketika dihubungi Harian Metro.

“Kalau boleh, saya sebenarnya tak mahu buat dialisis. Tapi, tak tahulah sebab semua bergantung pada keputusan pemeriksaan doktor. Cuma, di rumah kini saya kurangkan minum air sebanyak 500 mililiter sehari. Saya memang kena kawal minum air sebab masalah buah pinggang ini,” tambahnya lagi.

Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini selama seminggu kerana keadaan kesihatannya yang menurun.

Selain masalah jantung dan buah pinggang, Ebby juga dikesan mempunyai masalah saraf dan prostat.

Masih tetap positif

Meskipun Ebby Yus diuji dengan masalah kesihatan, tiada keluhan yang didengar dari mulut seniman itu.

Sebaliknya Ebby tidak jemu-jemu memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih memberi peluang kepadanya untuk menjalani hidup yang baik selain rezeki yang tidak putus buatnya.

Ebby berkata, dia tetap melihat positif terhadap ujian kesihatan dialaminya kini. Katanya, dia akan berusaha menjaga kesihatan sebaik mungkin dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan dirinya.

Sumber: Harian Metro

[fbcomments]