Selepas hampir 12 tahun menanti kepastian, keluarga kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, seorang pelajar tahfiz yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada 2013, kini mengambil langkah undang-undang bagi menuntut semula keadilan untuk anak mereka.
![]()
Keluarga Pelajar Tahfiz Fail Saman Sivil, Tuntut Keadilan Selepas Hampir 12 Tahun
Tindakan saman sivil itu difailkan baru-baru ini terhadap beberapa pihak termasuk Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, dan pegawai penyiasat kes berkenaan. Menurut wakil keluarga yang juga peguam, Liyana Marzuki, tindakan ini diambil berikutan kegagalan siasatan yang didakwa tidak telus dan mengabaikan banyak persoalan yang masih belum terjawab sehingga ke hari ini.
Pada Disember 2013, Allahyarham Faris yang ketika itu berusia 11 tahun ditemui tidak bernyawa di asrama sekolahnya, dengan kain pelikat dijadikan tali di leher. Kejadian tragik itu mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan buli, ugutan, serta unsur mistik yang dikaitkan dengan kematian tersebut.
Mahkamah Koroner pada 2016 memutuskan bahawa kematian Faris disebabkan oleh perbuatan individu tidak dikenali. Namun, keluarga hanya menerima keputusan bertulis rasmi selepas hampir sembilan tahun, iaitu pada Januari tahun ini.
![]()
Lebih mengejutkan, dakwa pihak keluarga, tiada tindakan lanjut diambil meskipun terdapat laporan awal berkaitan insiden buli serta gangguan terhadap mangsa semasa berada di sekolah. Malah, dua minggu selepas kejadian, kawasan asrama tempat mayat ditemukan dikatakan telah dirobohkan oleh pihak sekolah yang bernaung di bawah Yayasan Kelantan, tanpa sebarang siasatan forensik atau pemeliharaan bukti dijalankan.
Situasi itu mengundang kekecewaan mendalam dalam kalangan keluarga yang mendakwa naratif kematian Allahyarham seolah-olah dialihkan kepada cerita berunsur mistik seperti ‘rasukan jin’ bagi menutup fakta sebenar.
Lebih menyayat hati, jasad Allahyarham hanya ditemui empat hari selepas kematiannya, walaupun berada dalam kawasan sekolah yang sepatutnya menjamin keselamatan para pelajar.
![]()
Melalui saman sivil yang difailkan, keluarga menuntut pengisytiharan berlaku kecuaian dan salah laku oleh pihak bertanggungjawab, di samping menuntut pampasan serta akauntabiliti institusi atas kegagalan menyiasat kes tersebut secara menyeluruh dan adil.
Kredit: Harian Metro, FB Liyana Marzuki