fbpx

Keluarga mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India kini menerima hakikat sebarang kemungkinan terburuk yang bakal berlaku, namun hanya berharap untuk menatap wajah mangsa buat kali terakhir.

Pasrah Dengan Apa Yang Berlaku, Mampu Berharap Mangsa Segera Ditemukan & Dapat Menatap Muka Buat Kali Terakhir

Memetik laporan Astro Awani, Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Arvend Appiasamy memaklumkan bahawa keluarga mangsa telah bersedia menghadapi sebarang berita buruk ketika pertemuan mereka baru-baru ini.

“Sewaktu pertemuan, pada awalnya mereka juga rasa segan nak bercakap dengan saya. Tetapi saya juga merupakan orang Telegu, bermaksud latar belakang sama dengan mereka. Bila saya guna bahasa itu, mereka terkejut dan rasa lebih selesa dan sudah pasti sedih pada awalnya.

“Tetapi pada masa sama mereka dah terima hakikat dan kata pada saya, (mereka) tidak jangka apa-apa cuma nak tengok muka mangsa sahaja. Itu cukup sedih untuk dengar… Mereka sudah sedia apa-apa sahaja situasi,” kata Arvend.

Dalam perkembangan lain, keluarga mangsa juga telah meminta agar pihak berkuasa diberikan ‘push factor’ untuk mempercepatkan operasi pencarian mangsa. Arvend menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan telah menjalankan usaha yang terbaik dalam misi ini.

Pada hari keempat operasi pencarian, pihak berkuasa mengumumkan bahawa teknik ‘flushing’ digunakan untuk mencari mangsa yang terperangkap. Ahli keluarga mangsa yang merupakan warganegara India, turut diberi lanjutan visa selama sebulan bermula hari ini bagi memudahkan urusan mereka di Malaysia.

Sebelum ini, mangsa yang bernama Vijayaletchumy, 48, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India pada 23 Ogos 2024. Sehingga kini, usaha untuk menemukan mangsa masih giat dijalankan.

Kredit: Astro Awani

[fbcomments]