Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang di sebuah pusat perniagaan pada kelmarin dan telah mencetuskan kebimbangan ramai.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri iaitu Asisten Komisioner M Kumarasan menyatakan bahawa Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak yang dilaporkan hilang, disedari hilang oleh bapanya sekitar pukul 8.30 malam.
Dua Hari Masih Tidak Dapat Dikesan
Kumarasan menjelaskan bahawa polis sedang giat mencari kanak-kanak tersebut dan maklumat mengenai kehilangannya telah disebarkan kepada orang ramai.
“Lokasi terakhir Albertine dilihat adalah di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani,” kata beliau dalam kenyataan media.
Albertine mempunyai ketinggian sekitar 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah, dan bertubuh kurus sederhana. Pada waktu kehilangannya, dia mengenakan baju T putih bergambar ‘Mickey Mouse’ di dada dan seluar pendek.
Pada waktu yang sama, Kumarasan turut meminta orang ramai agar dapat memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan tanpa membuat spekulasi.
“Kami meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat andaian. Polis sedang menyiasat, dan ini sahaja maklumat yang boleh kami kongsikan buat masa ini,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kanak-kanak tersebut diminta untuk menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzuan Abd Hadi di talian 017-7051097. Mereka juga boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999.
Difahamkan, lokasi pusat perniagaan tersebut sedang berlangsung festival Maqan x Bon Odori sejak kelmarin, di mana bapa kanak-kanak itu turut serta sebagai seorang peniaga. Usaha untuk menghubungi bapa Albertine tidak berjaya kerana dia tidak membalas mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.
Pihak polis berharap agar Albertine dapat ditemui dengan selamat dan menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha pencarian ini.
Kredit: Harian Metro